Thursday, September 11, 2008

"Kelahiran Usahawan Melayu" satu tekanan

Sedekad ini kita sudah boleh sedikit berbangga dengan apa yang ada pada orang Melayu dewasa ini. Walaupun sasaran DEB untuk mencapai 30% pemilikan ekuiti oleh orang Melayu dalam bidang ekonomi masih jauh dari sasaran, tetapi kemunculan-kemunculan usahawan Melayu satu persatu dalam pelbagai bidang amatlah membanggakan.

Bermula dengan dasar persyarikatan yang di perjuangkan oleh Tun Dr. Mahathir semasa awal pemerintahannya nampak sudah berhasil melahirkan beberapa nama terkemuka dalam bidang perniagaan. Dengan bantuan dan galakan dari kerajaan maka hari ini terhasillah beberapa syarikat korporat Melayu yang jika dilihat dari asalnya dahulu agak mustahil untuk melihat orang Melayu sangat berjaya seperti hari ini.

Melalui dasar Penswastaan yang melibatkan beberapa kepentingan kerajaan , orang Melayu telah diberi peluang untuk menerajui syarikat-syarikat kepentingan kerajaan dan ini secara tidak langsung memberi peluang kepada orang Melayu untu melatih dan belajar bagaimana untuk menguruskan satu organisasi perniagaan yang besar. Melalui pengalaman ini maka mereka dapat pula membuka dan mengembangkan empayar perniagaan sendiri. Pengalaman-pengalaman ini bukanlah mudah untuk diperolehi sekiranya tiada usaha dari kerajaan untuk menggalakkan orang Melayu berniaga. Pengalaman yang berharga ini amatlah sukar untuk diperolehi dari kaum lain yang lebih berjaya.

Setelah orang Melayu agak berjaya dalam bidang ini, satu seruan telah dibuat untuk orang Melayu kembali melihat apa yang telah mereka tinggalkan. Apa yang dahulu mereka fikir untuk diri sendiri boleh diusahakan supaya ianya dapat dikomersialkan. Selepas era Tun Mahathir, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi telah melihat potensi yang ada di dalam bidang pertanian dan penternakan. Satu misi yang berani apabila negara kembali untuk pergi kepada bidang yang sudah lama ditinggalkan.

Orang Melayu sudah belajar bagaimana untuk berniaga, bagaimana untuk menguruskan sesuatu yang besar, bagaimana untuk menggunakan teknologi pada tempat yang betul, oleh itu dasar mewujudkan usahawan tani telah memberi peluang kepada orang Melayu mengusahakan bidang pertanian dan penternakan di dalam skala yang besar dimana dengan cara ini orang Melayu akan dapat meraih keuntungan yang banyak disamping dapat memacu ekonomi negara.

’satu tekanan’

Kalau kita lihat satu masa dahulu, boleh dikatakan 80% ekonomi negara dikuasai oleh kaum lain dan pelabur asing. Rata-rata syarikat yang wujud adalah milik bukan bumiputra. Keadaan ini berlanjutan selama berdekad lamanya. Ini disebabkan oleh kurangnya pengetahuan dikalangan orang Melayu dalam pelbagai bidang. Kaum bukan bumiputra banyak menumpukan masa dan usaha dalam ekonomi pelbagai bidang. Mereka tidak begitu terdesak untuk mempunyai kuasa politik kerana ketika itu segala bidang ekonomi dikuasai oleh kaum bukan bumiputra. Nampaknya zaman seakan sudah berubah apabila dasar-dasar kerajaan untuk melahirkan usahawan Melayu kian berjaya. Walaupun jumlah yang baru sedikit tetapi dengan penyertaan di dalam banyak bidang ekonomi, maka sumber-sumber ekonomi yang dahulunya dikuasai oleh kaum lain kini telah sedikit demi sedikit dikuasai oleh orang Melayu.

Kalau dahulunya impian untuk melahirkan usahawan korporat berasaskan barangan sudah terhasil, kini orang Melayu melangkah setapak lagi apabila munculnya usahawan-usahawan pertanian dalam skala yang besar. Bidang ini yang selamanya dikuasai kaum lain telah berjaya ditembusi oleh orang Melayu dengan projek-projek berskala besar dan bermotifkan keuntungan.

Dengan kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh orang Melayu walaupun sedikit nampaknya seakan mempengaruhi kawalan kaum lain terhadap pelbagai bidang ekonomi. Mungkin takutkan kawalan terhadap sumber-sumber ekonomi itu dikuasai sepenuhnya oleh orang Melayu satu masa nanti maka kita dapat lihat kaum bukan bumiputra kini begitu aktif berpolitik dan semakin berani menyuarakan ketidakpuasan perasaan masing-masing terhadap pelbagai isu. Adakah kerana Melayu pada hari ini sudah semakin bijak maka keadaan politik pada masa kini semakin genting atau Melayu pada hari ini sudah dapat berdikari dan menguasai pelbagai bidang ekonomi yang dahulunya hampir mustahil untuk dilaksanakan. Adalah menjadi satu impian untuk melihat Melayu mampu berdiri seiring kaum-kaum yang lain tanpa bantuan kerajaan dalam menguruskan pelbagai bidang ekonomi negara.

Friday, September 5, 2008

FALSAFAH POLITIK ISLAM


Kekuasaan dan pemerintahan ialah hak dan milik mutlak Allah S.W.T dan dikurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki Nya dan mengambilnya kembali daripada sesiapa yang diingini Nya. Pangkat dan kedudukan seseorang merupakan perhiasan hidup dan pemberian Allah S.W.T untuk menguji kataatan dan kesetian hamba-hamba Nya.

KONSEP PEMERINTAHAN DAN PENTADBIRAN DALAM ISLAM

Pemerintah dan pemimpin ialah khalifah Allah S.W.T di bumi yang diamanahkan oleh Allah S.W.T untuk memerintah dan memimpin rakyat, mentadbir alam dan menguruskan sumber tabii. Pemerintahan dan pentadbiran berlunaskan konsep Imamah (menghayati ciri-ciri kepimpinan imam dalam mengetuai sembahyang jema’ah). Kuasa merupakan amanah Allah kepada manusia yang perlu digunakan dan dijalankan secara betul serta menepati dengan kehendak yang dituntut oleh syari’ah.

PRINSIP-PRINSIP PEMERINTAHAN DALAM ISLAM

i) Menegakkan Keadilan
Seseorang yang telah dilantik menjadi pemerintah dan pentadbir di muka bumi ini hendaklah bersifat adil pada setiap rakyatnya dengan tidak mengenal bangsa, agama atau keturunan. Keadilan di sini bermaksud meletakkan sesuatu perkara betul pada tempatnya. Sesuatu keputusan dan tindakan yang diambil hendaklah berlandasan al-Quran dan al-Sunnah. Selain itu seseorang pemerintah mestilah mewujudkan persamaan hak dan tanggungjawab terhadap organisasi bagi setiap individu dan masyarakat yang beragama Islan dan yang bukan beragama Islam

ii) Menghapuskan Kezaliman Serta Penganiyaan

Setiap seseorang yan menjadi pemerintah haruslah mencegah dan membendung gejala-gejala buruk, amalan yang tidak sihat dan perbuatan salah laku yang dihadapi dalam menerajui kepimpinan ummah. Rakyat juga diberikan hak untuk menyuarakan sebarang perkara atau aduan tentang bentuk-bentuk kezaliman dan penganiyaan

iii) Mengukuhkan kesepakatan, kesefahaman serta perpaduan

Pemerintahan dan pentadbiran bagi seorang pemerintah mestilah berasaskan sistem perbincangan dan perundingan. Mereka mestilah mengamalkan semangat perbincangan atau mesyuarat dalam menentukan keputusan sebulat suara bagi mengukuhkan lagi kesepakatan.

Pemerintah juga haruslah meninjau pandangan, pendapat dan komen rakyat terhadap sesuatu dasar atau yang rancangan yang diperkenalkan dan dilaksanakan oleh pemerintah atau pemimpin dalam pentadbiran. Seseorang pemerintah juga mestilah menyarankan kepada rakyat agar mereka dapat berbaik baik bukan sahaja sesama Islam tetapi dengan rakyat yang mempunyai bangsa, agama dan keturunan lain.

iv) Membawa kemakmuran dan menuntut keredhaan Allah S.W.T

Selain dari memberikan khidmat kepada masyarakat seorang pemimpin mestilah membentuk masyarakat agar dapat melahirkan masyarakat yang berilmu, celik budaya dan bermaklumat. Ia akan mewujudkan kemakmuran dan membawa kesenangan hidup dalam semua bidang dan aspek kehidupan. Dalam membawa kemakmuran pada sesebuah negara yang berada di bawah pemerintahannya, seorang pemerintah haruslah menitikberatkan soal agama dalam menuntut keredhaan Allah S.W.T. Mereka harus memenuhi keperluan kehidupan beragama masyarakat Islam dengan menyediakan kemudahan, kesenangan dan keselesaan untuk menunaikan ibadah.

Thursday, September 4, 2008

Selamat berpuasa

surah al-baqarah ayat 183.

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,

Dan daripada Abu Hurairah ra juga katanya, Rasulullah saw bersabda "makanan untuk dua orang mencukupi untuk tiga orang dan makanan untuk tiga orang mencukupi untuk empat orang." (AlBukhori dan Muslim)